Semalam kami keluar untuk mencari kasut sekolah anak-anak. Mula-mula cari di kawasan Saujana Utama dahulu, kemudian melajak ke mall. Ingat sudah habis di situ, rupanya singgah pula ke kedai serbaneka. Alhamdulillah dapat belikan kasut sekolah yang sudah terbuka depan dan ada yang dah ketat.
Semalam semasa singgah di mall, saya triggered dengan tindakan seorang jurujual. Dia menahan kami dan bertanya pada anak-anak nak belon percuma tak. Kemudian dia datang kepada saya.
“Puan, boleh tak saya nak berikan anak-anak Puan belon percuma?”
Oleh kerana dia bertanya dengan sopan saya setuju, namun saya tertanya-tanya adakah dia dari kedai berdekatan pintu masuk. Kemudian dia berjalan ke depan sambil mengajak anak-anak saya untuk mengikutinya. Saya terkejut apabila dia melepasi kedai-kedai di situ dan terus mara lagi ke depan.
“Awak nak bawa anak-anak saya ke mana ni?” soal saya dengan nada yang tegas.
“Oh kami ada karnival pendidikan untuk kanak-kanak, singgah sekejap sahaja Puan,” katanya memujuk.
Saya terus hentikan anak-anak dan minta mereka jangan ikut jurujual tu. Anak-anak dengan muka kecewa akur dan mengikut saya berjalan laju menuju ke dalam mall. Saya memang rasa triggered sangat.
Ini kerana ini taktik yang hampir sama saya pernah terkena dengan pakej pendidikan kanak-kanak semasa suatu masa dahulu. Mula-mula ajak bermain, nanti mereka akan pujuk beli pakej tu. Bila diberitahu tiada budget, mereka akan panggil supervisor dan dia akan tawarkan bayaran ansuran.
Pakej tersebut bukan murah ya sampai bertahun-tahun juga saya nak langsaikan pembayaran. Selagi kita tak setuju dia akan pujuk juga. Ya saya pun setuju dulu sebab lihat produknya berkualiti juga. Namun apabila ada alat yang rosak amat sukar untuk dapatkan support.
“Umi nak gi karnival” kata Ameera semasa kami di kedai pakaian.
“Mana ada karnival, tu tengok depan tu,” Ya. Ianya bukan karnival. Cuma suatu sudut berdekatan tangga depan kedai dengan beberapa set meja kanak-kanak. Kelihatan di atas meja kotak pakej pendidikan yang sama konsep saya pernah terpaksa beli dulu.
Saya memang sangat marah, kenapa nak guna teknik begini? Sepanjang dalam mall saya rasa terpisah dengan dunia nyata. Saya sedar saya kini sudah dalam keadaan tidak normal, tapi demi anak-anak saya teruskan jalan-jalan dalam mall tersebut.
Waktu nak solat Asar saya ke tandas dan jubah saya meleret terkena lantai tandas. Dari asalnya nak basuh hujung yang terkena saya akhirnya basuh keliling jubah, kemudian lengan baju dan juga stokin. Ya basah lencun macam orang mengharung sawah padi.
Ini tidak bagus. Saya mula rasa tidak selesa dan rasa nak meraung. Saya berjalan keluar ke arah lif yang menuju ke surau dengan jubah dan stokin basah. Kemudian tunaikan solat dalam keadaan yang tidak stabil. Selesai solat saya teringat yang saya ada bawa botol air tetapi entah di mana saya tinggalkan.
Anak-anak dan suami saya tahu ini very bad news. Jadi semua pun pakat cari. Saya menuju dan tunggu dalam kereta sementara mereka cari di kedai-kedai tempat kami singgah tadi. Saya menangis dalam kereta. Otak saya dah jem. Banyak sangat event yang trigger saya.
Sepuluh minit kemudian mereka kembali. Dari wajah ceria saya tahu mereka jumpa botol air saya. Saya kemudian sambung lagi menangis sambil ceritakan perihal kenapa saya lama di tandas dan basah lencun. Mereka semua mendengar dan biarkan saya meluah dan menangis persis anak kecil.
Ini bukan perkara luar biasa bagi mereka apabila kami keluar bersama-sama. Setelah saya reda sedikit saya minta untuk singgah ke kedai serbaneka. Biasanya kedai warna merah itu dapat melegakan sedikit serabut dalam kepala saya.
Saya akan cari barang yang saya suka, perhiasan rumah dan alat tulis. Hasil tangkapan adalah wind chime dan pasu bunga kecil dalam gambar. Oh semestinya bukan itu sahaja haha, adalah benda-benda lain yang kurang perlu tapi saya cari sebab untuk beli juga.
Tidak mudah bagi suami dan anak-anak saya belajar menerima keadaan mental saya ini. Walaupun saya begini mereka melayan saya sebaiknya. Ada kala saya akan menjadi seperti anak kecil, ada kalanya pula jadi manusia yang sangat menyakitkan hati.
Alhamdulillah, Allah Maha Penyayang, Allah hadirkan mereka untuk menemani saya. Terima kasih Bro Nan dan anak-anakku. Kalian bukan sahaja kuat, malah sangat baik. InsyaAllah, ujian ini untuk kita menuju ke syurga bersama-sama.
Terima kasih juga kerana sudi baca nukilan saya ya.
0 Comments